Selasa, 27 Disember 2016

5 Sebab Liga Perdana Inggeris EPL Diminati Seluruh Dunia



Aku tidur lewat malam tadi tengok Liga Perdana Inggeris. Habis game Man Utd vs Sunderland, tak larat dah nak tengok Man City vs Hull City. Bila dah tersengguk-sengguk tu, confirmlah memang tak boleh tahan, terus aku tutup TV dan tidur.

Pagi ni, awal-awal lagi aku dah check result Fantasy Premier League (FPL) kat phone. Maklumlah selain tengok bola ni, main FPL ni kira jadi pelengkap la untuk peminat bola. Lepas tu pakat mengharap player team kita dapat points banyak. Aku siap ada 2 group FPL ni, satu geng sekolah menengah, satu lagi campuran geng ex-Matrikulasi dan tempat kerja member aku yang jadi Admin. Punyalah semangat Admin ni, awal-awal musim asyik ‘berbunyi’ ja suruh orang update itu ini. Aktif! Tapi bila dah masuk gameweek pertengahan  ni ‘sepi’ ja. Sebab ranking League rendah la tu. Hehe..

73 points dengan masih ada 4 player belum main. Yes!

Bercakap pasal Liga Inggeris ni, aku dah ikuti sejak tahun 1997 lagi. Kita lebih ghairah menonton pasukan Inggeris berlawan berbanding pasukan di negara kita sendiri. Lihatlah kalau game Man Utd vs Liverpool. Kita boleh nampak sendiri. Tipulah kalau kita kata Liga kita wajah kita, tapi yang kata tu lah kalau ko jentik team favourite dia, aduh bergaduh tu sampai left group terus. Haha

Liga Inggeris merupakan lubuk emas para pemain dunia mendapat gaji mencecah jutaan pound sterling. Kita boleh lihat bagaimana berpengaruhnya Liga ini hinggakan hartawan terkaya dunia termasuk dari Malaysia sendiri sanggup melabur membeli saham dalam Kelab-kelab Inggeris ini untuk tujuan promosi pengiklanan mereka. Vincent Tan dengan Cardiff City, Tony Fernandes dengan Queens Park Rangers, Kumpulan Genting yang menaja jersi Aston Villa, dan suatu ketika dulu Proton juga pernah menaja jersi Norwich City.
Tony Fernandes sendiri mengakui satu kerja gila melabur dalam Kelab Bola ni. Tapi masalahnya, dia suka!

Jadi, sebenarnya kenapa Liga Inggeris ni begitu diminati di dunia? Dipetik dari sumber rujukanku di beberapa page. Mari kita lihat :-

1. Elemen Kompetitif

Bournemouth bangkit ketinggalan 3 gol menewaskan Liverpool 4-3 pada 4 Disember 2016.

Liga Perdana Inggeris adalah salah satu liga paling berdaya saing di dunia. Tidak sukar untuk peminat tegar BPL percaya fakta ini. Tiada jadual perlawanan yang mudah, mana-mana pasukan boleh memberi kejutan. Jika dilihat dari 50 kelab bola terkaya di dunia, rata-rata kelab bahagian bawah Liga Perdana Inggeris berada dalam senarai. Justeru, ini membuktikan mereka mempunyai sumber untuk membeli pemain yang membolehkan mereka bersaing dengan pasukan hebat seperti Chelsea, Manchester United & Arsenal. Walaupun liga lain mempunyai pemain yang lebih baik dan pasukan yang lebih baik, kebanyakan pemain utama liga lain dikuasai oleh 1 dan 2 pasukan sahaja. Elemen kompetitif inilah yang menyumbang besar kepada keseronokan menonton Liga Perdana.

2. Perlawanan ‘Derby’

Manchester Derby yang sentiasa dinantikan semua peminat bolasepak!

Disebut 'darby' dalam Bahasa Inggeris British, perlawanan derby adalah satu lagi elemen tarikan EPL. Terdapat dua jenis perlawanan derby dalam Liga Perdana Inggeris, derby tempatan dan perlawanan derby kelab besar. Derby tempatan lebih cenderung menjadi perkara paling hangat di antara kelab-kelab di bandar atau daerah yang sama. Daerah ini kadangkala hanya dipisahkan oleh beberapa batu sahaja. Bayangkan bagaimana sengit jika adanya pasukan seperti Kuala Besut melawan Jertih sedangkan kedua-duanya dari Daerah Besut, Terengganu! Beberapa perlawanan derby tempatan besar adalah North London Derby (Arsenal vs Tottenham), Merseyside Derby (Liverpool vs Everton), dan Manchester Derby (Manchester City vs Manchester United). 

Manakala perlawanan derby kelab besar adalah perlawanan antara kelab terbesar dan paling berjaya di England. Perlawanan ini sangat penting kerana keputusan perlawanan ini sering memainkan peranan penting dalam perebutan mata memenangi liga atau mengejar tempat ke Liga Juara-Juara Eropah di akhir musim. Salah satu yang terbesar adalah Manchester United vs Liverpool.

3. Corak Permainan

Robinho gagal untuk menyesuaikan diri dengan corak pantas dan fizikal EPL.

Salah satu perkara yang menarik peminat adalah corak permainan pasukan dan liga bolasepak tersebut. Sesetengah liga dianggap terlalu taktikal, defensive, perlahan dan membosankan seperti Serie A (liga Itali). Tetapi ini tidak berlaku di EPL. Dikenali dengan permainan tempo yang cepat dan fizikal, disebabkan itulah sesetengah pemain ternama di dunia juga gagal untuk mengadaptasi dengan tempo di EPL. Sekadar menyebut pemain hebat seperti Juan Sebastian Veron, Andriy Shevchenko Robinho dan Alberto Aquilani kesemuanya lebih mahsyur di Liga Itali tetapi tidak di Liga EPL.

4. Pemain Bintang

Riyad Mahrez mengejutkan banyak pihak musim lepas sehingga diintai Real Madrid dan Barcelona.

Walaupun EPL tidak menampilkan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Luis Suarez dan Gareth Bale selaku pemain terbaik dunia, namun Liga Perdana Inggeris mempunyai lebih ramai pemain bintang di kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Piala Eropah. Secara fakta, kecuali Messi kesemua pemain yang dinyatakan di atas lebih dahulu menempa nama di Liga EPL. Pemain seperti Paul Pogba, Eden Hazard, Philippe Coutinho dan Riyad Mahrez pula adalah merupakan bintang yang sedang menyinar di Liga Perdana Inggeris masakini. Bukan menjadi kejutan sekiranya dalam beberapa musim lagi mereka ini akan disambar kelab terkenal di dunia seperti Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich. Ini bermakna, Liga Perdana Inggeris terbukti berjaya mencungkil dan melahirkan bintangnya sendiri.

5. Drama & Kontroversi

Bola punya pasal pun nak gaduh ke? Haha

Ya, akhir sekali. Liga Perdana Inggeris sentiasa penuh dengan elemen drama di belakang tabir! Untuk memberi anda idea, bayangkan media di Amerika yang mengikuti kehidupan pemain bintang NFL & NBA tidaklah seghairah mereka mengikuti keluarga Kardashians. Sebaliknya berlaku di media British, mereka mengikuti rapat kehidupan pemain bola sepak EPL. Seringkali ada beberapa gosip dan berita yang cukup sensasi dan kontroversi. Sebagai contoh, kes skandal membabitkan pertahanan Chelsea, John Terry dengan isteri bekas rakan sepasukan England-nya Wayne Bridge dan pertikaian di dalam dan luar padang antara pengurus Arsenal Arsene Wenger dan pengurus Chelsea Jose Mourinho. Media British cukup terbuka luas membincangkan tidak hanya pada hari ‘match day’ malahan wartawan pasti akan membawa anda beberapa drama di luar padang secara eksklusif.

Menurut kajian premierleague.com, sejumlah 4.7 bilion orang menonton EPL pada tahun 2010-2011. Seiring dengan peningkatan dan perkembangan stesen TV, ditambah dengan populariti liga, angka ini pasti akan meningkat. Angka- ini membuktikan siaran Liga Perdana Inggeris menjadi penonton TV yang paling ramai di dunia. Fakta-fakta konkrit bercampur dengan 5 alasan di atas pasti mengukuhkan Liga Perdana Inggeris sebagai liga terbaik di seluruh dunia.

Berapa dah usia Harimau ni ye?


Sebenarnya banyak yang boleh dipelajari FAM untuk merombak liga Malaysia. Kita tidak perlu melihat jauh ke Eropah, cukup di Jepun dahulu. Lihat bagaimana stadium-stadium di Jepun sentiasa penuh sesak dengan penonton. Lebih membanggakan apabila kemeriahan Liga Jepun juga seiring dengan peningkatan pasukan Kebangsaan Jepun yang telah mendominasi bukan Asia malah menjadi pencabar kuat kepada pasukan Eropah, Afrika dan Amerika Selatan. Kalau ada masa, aku akan tulis apa yang kita boleh buat untuk perbaiki wajah pasukan Malaysia. Tunggu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan